Warisan budaya Melayu yang perlu dipelihara martabatnya agar terus menjadi salah satu warisan yang diturunkan oleh leluhur dari zaman dahulu. Seni silat merupakan seni mempertahankan diri dengan menggunakan langkah-langkah tertentu dengan tangkas dan pantas. Terdapat pelbagai seni silat Melayu termasuklah silat cekak, silat gayong, silat lincah, dan sebagainya.Seni silat ini digunakan oleh pendekar pada zaman dahulu untuk mempertahankan diri daripada musuh. Kini,seni silat bukan sahaja terhad kepada golongan lelaki sahaja namun golongan wanita juga turut mempelajarinya.
Seni Silat Cekak
Seni silat cekak merupakan silat yang hanya memerlukan pengamalnya untuk berdiri tegak untuk menerima serangan.Silat ini diasaskan oleh YM Al-Marhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad pada tahun 1975.Setelah beliau wafat, ilmu silat cekak ini diturunkan kepada anaknya iaitu Tuan Dr. Haji Md. Radzi Bin Haji Hanafi yang merupakan pewaris mutlak silat cekak Pusaka Hanafi kini.Silat ini mempunyai tiga peringkat iaitu peringkat asas diikuti dengan peringkat jatuh dan seterusnya peringkat tamat. Pengamal silat cekak ini perlulah sentiasa bersedia untuk menerima serangan dan mempertahankan diri dalam keadaan berdiri tegak seperti rukun solat yang pertama.
Seni Silat Gayong
Silat Seni Gayong telah diasaskan oleh Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim. Beliau dilahirkan pada tahun 1915, dan berketurunan Bugis yang merupakan cicit kepada Daeng Kuning atau dikenali sebagai Panglima Hitam.Pelajaran dalam Silat Seni Gayong pada asalnya mempunyai tujuh buah tangkapan sahaja untuk setiap peringkat. Ketuju-tujuh buah tangkapan ini kemudiannya dibahagikan sehingga menjadi 49 pecahan untuk setiap peringkat, iaitu daripada peringkat tangkapan tangan kosong hingga ke peringkat Seni Gayong yang dikenali sebagai permainan yang menggunakan senjata tradisi Melayu. Secara umumnya, pelajaran dalam Silat Seni Gayong dibahagikan kepada tujuh peringkat iaitu; Tapak Gayong, Seni Tapak Gayong, Seni Keris, Seni Simbat, Seni Yoi, Seni Belian,dan Seni Cindai.
Seni Silat Lincah
Seni silat lincah telah dipimpin oleh Allahyarham Tan Sri Datuk Wira Haji Omardin Bin Mauju pada tahun 1963. Silat lincah merupakan sebuah aliran perguruan seni silat tempur di Malaysia dan diberi nama 'Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia'. Sesuai sebagai pertubuhan silat yang bukan sahaja mengutamakan gerak langkah dan semangat tempur ‘Hang Jebat’, ahli-ahli juga disisipkan amalan-amalan diri sebagai menguatkan pendirian ahlinya.Silat lincah ini telah mewajibkan agar setiap ahlinya mempunyai disiplin yang tinggi di semua peringkat sama ada peringkat ahli biasa, jurulatih atau pegawai-pegawainya. Sifat saling menghormati satu sama lain, mahaguru dan guru-gurunya dan tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa merupakan perkara penting yang perlu diamalkan dalam silat lincah ini.Selain itu, soal keagamaan juga diambil kira dalam seni silat lincah. Ahli-ahli sentiasa dinasihatkan untuk mengingati Allah dengan mengerjakan yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Oleh itu, ahli-ahli akan dilatih untuk bersopan-santun kerana itu merupakan amalan Silat Lincah yang paling utama.
Firman Allah SWT;
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [QS. Al-Anfal : 60]
Comments
Post a Comment